Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu mahu semua guru dan pelajar di negeri itu supaya terlibat dengan program terbaharu yang dilancarkan oleh Astro Awani menerusi program AWANIJr bagi meningkatkan lagi cara berkomunikasi selain meluaskan pengetahuan dalam bidang kewartawanan,penyiaran dan cara berkomunikasi dengan baik.

Menurut Pengarahnya, Sharifuddin Ali Hussein, peluang yang diberikan oleh pihak Astro Awani itu perlu digunakan sebaik mungkin oleh semua sekolah kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

Malah, pihak Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu berasa bertuah kerana kesemua pelajar itu mendapat bimbingan secara terus daripada pihak Astro Awani untuk mengasah bakat mereka secara profesional.

Sambil memuji rancangan AWANIJr, beliau turut menyifatkan apa yang dilakukan oleh pihak Astro Awani ini juga akan mampu melahirkan barisan pelapis wartawan dan pengacara masa depan yang lebih berkualiti.

“ini merupakan satu usaha yang sangat baik daripada Astro Awani kerana memberi keyakinan kepada murid untuk terlibat secara live dan secara langsung. Disebabkan kebijaksanaan Astro Awani ini lebih banyak lagi sekolah berminat untuk menubuhkan TV Pusat Sumber Sekolah (TV-PSS) dan kita dapat lihat kesan daripada TV-PSS ini memberi keyakinan kepada murid-murid kita bercakap.

"Ia juga mendorong mereka untuk membaca bagi mendapatkan maklumat; dan juga mereka belajar untuk menjadi seorang wartawan yang sangat hebat. Saya percaya ini merupakan satu usaha kita untuk menyediakan pelapis dalam bidang kewartawanan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Malah, tegas beliau lebih membanggakan apabila rekod menunjukkan bahawa pelajar dan sekolah yang terlibat dalam program AWANIJr ini juga mempunyai prestasi akademik dan kokurikulum yang sangat cemerlang.

“kalau kita lihat data saya yang menunjukkan kebanyakan yang jadi wartawan tv-pss sekolah, semuanya mempunyai prestasi yang sangat cemerlang.

"Sebagai contoh seorang yang saya dapat semalam daripada SK Jerung telah diterima untuk masuk ke Sekolah Sains Sultan Mahmud. Ini bermaksud dua atau tiga pelajar yang terlibat dengan program ini mempunyai pencapaian sangat membanggakan,” katanya.

Justeru, beliau mahu melihat semua sekolah di Terengganu terlibat secara langsung dalam program itu dan menggunakan peluang yang ada.

Setakat ini, selepas pembabitan sekolah di Terengganu, hampir 300 sekolah telahpun mewujudkan TV-PSS mereka sendiri untuk turut sama menyertai AWANIJr.

Program yang dikelolakan oleh Raja Hisyam Raja Zaid selaku penerbit itu memberi ruang kepada semua pelajar di semua sekolah seluruh negara untuk menghantar hasil kreativiti mereka dalam bentuk video untuk dipaparkan di laman web Astro Awani dan Televisyen.