Sekolah diberi kuasa sediakan soalan PT3 mulai 2020

Sekolah diberi kuasa sediakan soalan PT3 mulai 2020
Amin Senin berkata, pentadbir sekolah diberi kuasa menyediakan soalan-soalan item PT3 tanpa penglibatan Lembaga Peperiksaan. - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA: Mulai tahun hadapan, sekolah-sekolah menengah di seluruh negara diberikan kuasa sepenuhnya untuk mengendali dan menyediakan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Kuasa berkenaan juga membolehkan pentadbir sekolah menyediakan soalan-soalan item PT3 tanpa penglibatan Lembaga Peperiksaan.
Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin, pada ketika ini soalan PT3 disediakan oleh Lembaga Peperiksaan, namun pengurusan pengendalian PT3 dibuat di sekolah masing-masing.

“Namun, mulai 2020, PT3 ini kita akan serahkan sepenuhnya pengendalian dan (penyediaan) soalan item kepada pihak sekolah.

"Maknanya Lembaga Peperiksaan tidak akan terlibat dalam menyediakan item,” katanya dalam sidang media pengumuman Analisis Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 di Kementerian Pendidikan Malaysia di sini pada Khamis.

Sehubungan itu, guru-guru akan dilatih bagi penyediaan soalan PT3 dengan dibantu oleh Lembaga Peperiksaan.

“Ketika ini kita sedang melatih guru kita untuk menyediakannya. Namun bank-bank soalan berkaitan PT3 tetap ada dan boleh digunapakai,” ujar beliau lagi.