Sekolah Pemimpin Masa Hadapan atau Malaysia Future Leaders School diharap dapat melahirkan lebih ramai pemimpin yang mewakili semua kaum dan mempertahankan nilai-nilai yang telah dikongsi bersama oleh rakyat negara ini.

Penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, apa yang perlu dilakukan oleh program Sekolah Pemimpin Masa Hadapan ini ialah bagaimana kita mampu mengutamakan nilai dan norma sejahtera untuk melahirkan pemimpin kelas satu.

Katanya, program Sekolah Pemimpin Masa Hadapan diharap melahirkan pemimpin yang mampu menjadi contoh kepada generasi seterusnya sesuai dengan hasrat kerajaan menjadi sebuah negara maju.

"Walaupun kita sebuah negara maju yang mempunyai infrastruktur yang lengkap dan moden, tetapi ia harus dihuni oleh pemimpin yang dianggap kelas satu.

"Mungkin apa yang boleh dilakukan oleh Sekolah Pemimpin Masa Hadapan ialah merujuk semula kepada falsafah pendidikan kebangsaan yang dilancar 30 tahun yang lalu.

"Kita tidak memberi keutamaan kepada falsafah pendidikan itu yang mempunyai banyak perkara dirumuskan seperti tentang pembentukan insaniah yang seimbang bersifat intelek, emosi, rohani dan jasmani," katanya kepada Astro AWANI.

Mengulas mengenai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Dr Sivamurugan berkata, sebelum ini program tersebut telah menerima banyak kritikan dari pelbagai pihak.

Antara yang dikritik ialah program PLKN gagal mencapai matlamat sebenar dan membazir biarpun matlamat asalnya ialah melahirkan generasi yang kukuh jati diri dan mempunyai semangat patriotisme.

Semalam Dewan Rakyat diberitahu kerajaan akan menggantikan program PLKN dengan program program Sekolah Pemimpin Masa hadapan atau Malaysia Future Leaders School.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2019 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat malam tadi, Steven Sim memberitahu program yang akan diadakan pada musim cuti sekolah menggunakan konsep “summer camp”.

Katanya, seramai 60,000 belia berumur 15 hingga 17 tahun akan disaring daripada jumlah sejuta belia bersekolah.