Seksyen 17A Akta SPRM: Rundingan sedang berjalan

Seksyen 17A Akta SPRM: Rundingan sedang berjalan
Tan Sri Abu Kassim menyampaikan ucaptama pada Forum Integriti Anti-Rasuah dan Integriti bertajuk 'Menjadikan Integriti sebagai asas tadbir urus yang baik'- di sini pada Selasa. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sesi rundingan dan penerangan sedang dilakukan bagi memberi pemahaman kepada pihak terlibat terutama syarikat komersil sebelum Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikuatkuasakan Jun tahun depan.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed menjelaskan, apa yang penting individu atau sesebuah organisasi memahami pelaksanaannya kelak.

“Memang banyak enggagement dibuat sampailah mereka berpuashati bahawa kebanyakan syarikat telah pun mengetahui. Proses berkenaan sedang berjalan,” katanya kepada media selepas menyampaikan Ucaptama pada Forum Integriti Anti-Rasuah dan Integriti bertajuk “Menjadikan Integriti sebagai asas tadbir urus yang baik” di sini pada Selasa.

Beliau juga yakin pelancaran Garis Tatacara Mencukupi yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tahun lalu membantu organisasi komersil menggunakan langkah asas bagi mengurangkan risiko rasuah.

“Itu sebabnya Perdana Menteri telah melancarkan garis panduan tersebut pada hujung tahun lepas. Sekiranya mereka menggunakan garis panduan itu memenuhi Seksyen 17A dan melaksanakannya secara betul-betul, maka ia bolehlah dijadikan sebagai defence untuk menghalang apa-apa pendakwaan ke atas mereka yang bertanggungjawab terutama board of directors yang menjadi tanggungjawab apabila perlakuan rasuah berlaku yang dibuat oleh pegawai kanan mereka,” ujar beliau.


Seksyen 17A diluluskan di Parlimen pada 5 April 2018, yang memperuntukkan kesalahan rasuah oleh organisasi komersil.

Melalui seksyen berkenaan, organisasi komersil boleh didakwa sekiranya orang yang bersekutu dengan organisasi komersil itu terlibat dengan jenayah rasuah dengan tujuan untuk membolehkan organisasi komersil itu memperoleh atau mengekalkan kontrak atau kepentingan.

Ia bakal dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020.


Tag: Mahathir Mohamad, Abu Kassim Mohamed, SPRM, Malaysia, Seksyen 17A Akta, GIACC, Perdana Menteri



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.