Pembinaan laluan bagi projek penyambungan jajaran LRT (LEP) Ampang sekali lagi terbantut selepas pekerjanya dihalang sekumpulan individu yang bertindak liar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Castlefield, Puchong pada Sabtu.

Pengarah Kumpulan Bahagian Pembangunan Projek Prasarana Zulkifli Mohd Yusof berkata meskipun pihaknya mempunyai perintah mahkamah dan kelulusan berkaitan daripada pihak berkuasa, kumpulan itu yang terdiri daripada anggota lembaga sekolah berkenaan, masih enggan membenarkan kerja pembinaan dilakukan.

Beberapa orang, termasuk anggota polis tambahan dan Naib Presiden Kanan Jabatan Keselamatan Prasarana Abdul Rahim Shariff, cedera dalam pergelutan yang berlaku, menyebabkan mereka membuat laporan polis.

"Kami amat kecewa kerana usaha kami dihalang oleh tindakan melulu individu terbabit meskipun kami memperoleh perintah injunksi bagi memasuki sebahagian kawasan sekolah dan memaklumkan pihak sekolah terlebih dahulu berhubung perancangan kami.

"Ini adalah kali ketiga kami cuba memasuki kawasan pembinaan dan kami sudah berulang kali menyatakan bahawa kami akan memastikan gangguan minimum terhadap pembelajaran murid di sekolah berkenaan ketika pembinaan LEP dijalankan," kata Zulkifli kepada pemberita.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa pembinaan lima tiang bagi projek itu hanya akan membabitkan 0.47 ekar padang sekolah berkenaan dan laluan jajaran penyambungan sepanjang 180 meter itu dijangka melalui kawasan tepi padang berkenaan.

Menjelaskan kronologi kejadian, Zulkifli berkata pada bulan Julai tahun lepas, Prasarana bersetuju membelanjakan RM20 juta bagi penempatan semula sekolah berkenaan seperti yang diminta lembaga sekolah namun selepas itu, mereka mendesak untuk mengawal tender bagi pembinaannya.

"Mengikut draf perjanjian yang kami terima dua hari lepas, lembaga sekolah berkenaan meminta untuk meneliti semua pembayaran sebelum ia dibuat kepada kontraktor yang dilantik.

"Mereka juga menyatakan jika terdapat sebarang kelewatan, lembaga sekolah itu akan mengambil alih projek penempatan semula sekolah berkenaan, termasuk dana Prasarana," katanya.

Beliau berkata sebarang kelewatan tidak sepatutnya terus berlaku kerana projek itu disenarai di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), yang bertujuan mempertingkat penggunaan pengangkutan awam daripada 20 kepada 40 peratus menjelang tahun 2020.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan E.Priyanka berkata mereka tidak pernah meminta hak untuk mengawal pembayaran bagi projek itu atau dana bagi membina sekolah baharu seperti yang didakwa Prasarana.

Beliau memberitahu Bernama bahawa lembaga sekolah berkenaan hanya ingin memantau kerja pembinaan bagi memastikan ia siap mengikut jadual.

Priyanka turut mencadangkan agar peruntukan itu diletak ke dalam akaun berasingan dan diurus kerajaan negeri Selangor sebagai pihak berkecuali.

Ditanya langkah bagi menyelesaikan isu itu, beliau berkata PIBG dan lembaga sekolah akan mengadakan mesyuarat tergempar berhubung perkara berkenaan.