Selain jaminan kerajaan Jepun untuk Bon Samurai, berjumlah 200 bilion Yen, mereka juga sedia menghulurkan bantuan kewangan di bawah geran bantuan pembangunan rasmi (ODA) kepada Malaysia, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, jelas beliau lagi, geran ODA itu perlu diberi keutamaan kepada tiga sektor utama, iaitu pendidikan, pengangkutan, dan pembangunan sumber manusia, seperti mana yang dijelaskan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe sebelum ini.

Ini, kata Dr Mahathir, berbeza dengan Bon Samurai itu, yang mana ia akan digunakan untuk menjelaskan hutang negara, selain untuk projek-projek lain, tetapi dengan kadar lebih rendah iaitu 0.65 peratus.

“Kalau kita dapat pinjaman murah sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan beban hutang yang kita kena bayar, dan bon itu boleh digunakan untuk projek-projek lain. Ini berbeza dengan loan (kerajaan) dulu yang dah hilang. Tapi bila pinjam duit ini, dia datang ke tangan kita.

“Dan mereka (Jepun) ada tawarkan dua jenis pinjaman, satu Bon Samurai di bawah institusi perbankan mereka, tetapi mereka juga ada ODA, yang mana kita juga boleh nanti kalau kita ada projek tertentu

“Kita boleh juga pinjam daripada ODA, dan faedahnya juga rendah iaitu antara 1 hingga 1.5 peratus,” katanya lagi kepada sidang media bersama wartawan Malaysia sempena lawatan kerja tiga hari beliau di Tokyo yang berakhir hari ini.

Mengulas lanjut mengenai lawatan itu, Dr Mahathir berkata, beliau menganggap ia sangat berjaya, dan membawa banyak faedah pada negara.

Beliau berkata, Jepun sentiasa menganggap Malaysia sebagai negara sahabat, dan itu banyak memberi kelebihan kepadanya dalam usaha mencari pelaburan serta peluang-peluang yang lain, terutamanya dalam usaha mengurangkan beban kewangan negara.

“Lawatan ini bagi saya amat berjaya kerana sepanjang masa saya di sini, kita menjalankan tugas untuk memperkenalkan Malaysia baharu, serta dasar cara kita akan bangunkan semula negara ini.

“Dalam perjumpaan bersama Majeca-Jameca (Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia, dan Malaysia-Jepun) tempoh hari, lebih 500 tokoh korporat dan ahli perniagaan mereka hadir, dan mereka bertanya soalan yang sangat tepat berkenaan pembangunan negara,” kata Dr Mahathir.

Jelas Perdana Menteri lagi, beliau mendapati golongan berkenaan telah menyatakan hasrat mereka untuk membantu memulihkan Malaysia.

“Saya jamin ini bukan cakap-cakap manis sahaja, kerana mereka telah menunjukkan kefahaman yang tinggi tentang masalah di Malaysia,” katanya lagi