Selain membuat pemeriksaan terhadap restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan turut melakukan pemeriksaan terhadap restoran McDonalds selepas rungutan pengguna ditularkan di laman media sosial.

Rungutan itu disebabkan dakwaan kenaikan harga mendadak bagi hidangan makanan di kedua-dua restoran makanan segera itu, khususnya di ibu negara.

Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, bermula hari ini (Khamis) pegawai KPDNHEP telah mulakan pemeriksaan terhadap restoran KFC.

“Kita dah mulakan siasatan dan pagi ini, pegawai saya telah mula mendapatkan maklumat daripada KFC, kenapa naik harga,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Khamis.

Ketika ditanya mengenai tinjauan berkaitan harga hidangan di restoran McDonalds sekitar Kuala Lumpur yang turut mengenakan kenaikan harga Iskandar berkata pihaknya akan turut menyiasat perkara tersebut.

“Ya, kita akan tengok juga harga makanan di McDonalds. Sekarang ini, yang menjadi isu adalah di KFC tetapi kita akan mula juga dapatkan maklumat mengenai harga makanan di McDonalds,” jelasnya.

Pada Rabu, KFC memaklumkan pihaknya telah melakukan sedikit penyelarasan pada harga jualannya dengan memasukkan SST sebanyak 6 peratus, berkuatkuasa mulai Disember 2018.

Terdahulu, tular di laman media sosial rungutan pengguna berikutan kenaikan mendadak harga hidangan berasaskan ayam di restoran KFC.

Perkara tersebut juga mendapat perhatian Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu, yang menyatakan kenaikan tersebut adalah disebabkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang tidak setelus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Penjelasan pihak KFC bahawa kenaikan harga jualan mereka ialah akibat memasukkan cukai SST merupakan satu contoh mengapa SST tidak telus.

“Rakyat semakin sedar mereka masih dicukai di bawah SST walaupun resit tidak lagi menunjukkan cukai kerajaan dikutip sebagaimana sistem GST,” kata Najib.