Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Prof Dr P Ramasamy berkata beliau tiada masalah sekiranya kerajaan mahu mewujudkan Kertas Putih mengenai Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Malaysia.

Tetapi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu juga menggesa agar diwujudkan Kertas Putih mengenai penceramah kontroversi Dr Zakir Naik, serta Kertas Putih mengenai perjuangan ISIS di Syria dan 1MDB.

“Saya mengalu-alukan (cadangan Pas mengenai Kertas Putih LTTE), tetapi saya juga mahu kertas putih tentang 1MDB, siapa yang terima duit korupsi itu, berapa Pas terima.

Saya juga mahu kertas putih mengenai penangkapan mereka yang berjuang untuk ISIS di Syria, saya juga minta kertas putih mengenai Zakir Naik. Kenapa perlindungan diberikan kepada Zakir, kenapa perlindungan diberikan kepada Zakir.

Adakah Zakir Naik telah terlibat dalam kes bom di Kuala Lumpur baru-baru ini? Adakah Zakir Naik telah terlibat dalam keganasan di peringkat antarabangsa,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Ramasamy berkata, beliau bertegas agar polis berhenti menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), termasuk penangkapan dua ADUN DAP yang didakwa mempunyai kaitan dengan LTTE, baru-baru ini.

“Saya tidak pertikai bukti polis kalau mereka mempunyai bukti, tetapi kita cuma minta dakwa kedua-dua ADUN itu dalam mahkamah..itu saja. Akhir sekali keadilan ditentukan oleh hakim mahkamah, bukan polis,” katanya.