Tutup

'Selalunya saya merasmikan acara kraf sebagai TPP, terasa lain sikit hari ini' - Permaisuri Agong

'Selalunya saya merasmikan acara kraf sebagai TPP, terasa lain sikit hari ini' - Permaisuri Agong
Raja Permaisuri Agong merasmikan Festival Kesenian, Kebudayaan, Kemahiran dan Keusahawanan Pendidikan Khas Peringkat JPWPKL Tahun 2019. - Foto Astro AWANI/ Faris Danial
KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli menghadiri majlis perasmian Festival Kesenian, Kebudayaan, Kemahiran dan Keusahawanan Pendidikan Khas Peringkat JPWPKL Tahun 2019 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur hari ini.

Dalam titah ucapannya, Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana sudi menjemput baginda bagi upacara perasmian itu.
“Selalunya saya di sini bagi melancarkan acara tenun atau kraf sebagai Tengku Puan Pahang, ini kali pertama saya berdiri di sini sebagai Raja Permaisuri Agong. Terasa lain sikit hari ini,” titah Tunku Azizah.

Festival yang diadakan selama tiga hari bermula pada 15 Oktober hingga 17 Oktober ini melibatkan seramai 293 orang murid pelbagai keperluan khas dari 53 buah sekolah yang menawarkan Program Pendidikan Khas Integrasi dan Sekolah Pendidikan Khas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Selesai sahaja majlis perasmian, Raja Permaisuri Agong turut mengadakan lawatan ke tapak pameran dan lokasi pertandingan di Dewan Sri Utama sebelum berangkat pulang.

Terdahulu, Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Maznah Abu Bakar dalam sembah ucapannya berkata festival yang dianjurkan itu merupakan suatu wahana terbaik untuk mencapai wawasan negara dalam memperkembangkan potensi dalam kalangan murid berkeperluan khas.

“Pendedahan seperti ini secara tidak langsung dapat mengekalkan warisan turun-temurun supaya generasi akan datang dapat mengenali dan menghargainya.

“Patik pasti detik terindah ini akan terpahat dalam jiwa dan sanubari anak-anak dan warga pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” kata Maznah menerusi ucapannya.

Tambahnya, festival yang berlangsung selama tiga hari ini diharapkan dapat menjadi platform terbaik kepada semua peserta khususnya kepada murid-murid pendidikan khas, guru-guru untuk mempamerkan keupayaan dan kemampuan sebenar dalam usaha memartabatkan kesenian dan kebudayaan.

Turut hadir sama bagi majlis perasmian adalah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, Pengarah Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Yasmin Hussain dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail.

Festival ini merupakan acara dwitahunan anjuran Program Pendidikan Khas Integrasi SK Setapak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pejabat Pendidikan Daerah Keramat.

Selain itu, sebanyak 11 acara dipertanding kan dalam festival kali ini. Antaranya, pertandingan gubahan sirih junjung, hiasan pulut kuning, masakan tradisional tempatan, gubahan kitar semula bunga telur, mewarna batik, tarian rampaian tradisional, nyanyian solo dan sebagainya.


Tag: Raja Permaisuri Agong, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskanda, Festival Kesenian Kebudayaan Kemahiran dan Keusahawanan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.