Bandaraya Kuching telah diisytiharkan sebagai Bandaraya Perpaduan dan sekaligus mengangkat statusnya sebagai bandaraya pertama di dunia mendapat penganugerahan tersebut.

Ketua Menterin Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata pengisytiharan itu sesuatu yang istimewa untuk bandaraya yang telah melalui banyak fasa transformasi.

Portal berita Borneo Post memetik sebagai berkata, "ini adalah hari yang gembira untuk kami di Kuching, hari untuk meraikan. Anda layak kerana ia tidak senang untuk mendapat pengisytiharan Bandaraya Perpaduan kerana terdapat pelbagai syarat untuk menepati... kita telah memenuhi kesemua 12 syarat-syarat tersebut.

"Saya mahu anda semua senyum kerana ini adalah hari yang bersejarah bagi Kuching - paling cantik, paling bersih, dan bandar yang paling bersemangat di Malaysia terkenal dengan mee kolok, terubuk Masin, kek lapis ... dan juga Adenan Satem."

Adenan turut menggesa rakyat Sarawak untuk terus menjadi model contoh perpaduan kepada rakyat Malaysia.

Beliau berkata, "kami amat berbesar hati kerana dipilih sebagai bandar raya di negara kita untuk menjadi nombor satu dari segi bagaimana untuk hidup dengan harmoni antara satu sama lain. Marilah kita, pada saat negara dilanda kemelut dengan wujudnya ketegangan antara kaum, agama dan budaya. Ini sekaligus mempamerkan bagaimana untuk hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni.

"Marilah kita menjadi contoh kepada negara lain di Malaysia yang kita percaya kepada perpaduan dalam kepelbagaian. Walaupun kita berbagai, beberapa budaya dan sebagainya, kita boleh dan kita akan hidup bersama-sama dalam perpaduan dan dengan selamat."

Beliau yang melihat transformasi Kuching ketika membesar di bandaraya tersebut turut merakamkan penghargaannya terhadap Datuk Bandar sebelumnya yang dedikasi dalam menjalankan perkhidmatan mereka.

"Saya boleh memberitahu anda Kuching hanya sebuah bandar biasa apabila saya masih seorang lelaki muda, dan ia telah menjadi sebuah bandar yang besar-besaran. Saya telah melihat bagaimana bandar biasa ini menjadi sebuah bandar raya yang dinamik, terima kasih kepada Datuk Bandar sebelum ini.

"Saya ingat mereka - William Tan, Ong Kee Hui, Marican Salleh, Song Swee Guan dan banyak lagi termasuk bapa saya yang merupakan Naib Presiden KMC - Majlis Perbandaran Kuching.

"Kami berterima kasih kepada mereka untuk perkhidmatan mereka dan kini terutama (Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk) James Chan dan (Kuching Utara Datuk Bandar Datuk) Abang Abdul Wahap Abang Julai," katanya menurut Borneo Post.

Kuching diisytiharkan sebagai Bandaraya Perpaduan
Adenan Satem menggesa rakyat Sarawak untuk terus menjadi model contoh perpaduan kepada rakyat Malaysia. - Gambar fail
Rakyat Sarawak cintakan keamanan perlu mengekalkan bandaraya ini, sebuah bandaraya meriah bukan sahaja untuk pelancong dari luar negara tetapi untuk rakyat Sarawak dan rakyat Malaysia, katanya.

Pengerusi Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar mengumumkan penganugerahan tersebut ketika sambutan Hari Bandaraya ke-27 di sebuah majlis pelancaran di Stadium Perpaduan di Petra Jaya, Sabtu oleh Adenan.

Kuching menjadi bandaraya pertama di Malaysia dan seluruh dunia diisytiharkan secara rasmi sebagai bandaraya perpaduan, kata bekas ahli politik Lee Lam Thye seperti yang dilaporkan oleh Borneo Post.

Beliau juga berkata perisytiharan itu menekankan kepentingan pelbagai kumpulan etnik wujud bersama secara harmoni di Kuching dan ini telah menjadi dasar untuk menyatukan seluruh negara.

Keamanan dan keharmonian yang diunjurkan oleh rakyat Kuching memberi justifikasi kepada status yang diperolehi dan Kuching telah mencapai kemajuan yang luar biasa baik dalam kemajuan ekonomi mahupun dalam menjadi model yang tepat bagi rakyat Malaysia untuk mencontohi, katanya.

Menurut Chandra, kelayakan Kuching sebagai Bandaraya Perpaduan adalah berdasarkan suasana interaksi kaum yang positif yang menjadi amalan negeri itu seperti perkahwinan campur serta kepekaan penghuninya terhadap budaya etnik masing-masing.