Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menggesa semua rakyat Malaysia berperanan dalam memastikan kelangsungan Harimau Malaya di negara ini.

Isteri perdana menteri yang merupakan Penaung Kempen Selamatkan Harimau Malaya itu berkata, peranan tersebut bukan sahaja perlu dipergiatkan oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sahaja, tetapi juga agensi-agensi lain termasuk institusi pendidikan.

Tegasnya, haiwan tersebut yang menjadi lambang kekuatan dan kegagahan negara perlu dijamin kelangsungannya untuk terus kekal relevan di Jata Negara.

“Harimau Malaya ini hanya terdapat di Semenanjung Malaysia sahaja. Ia cantik, kuat, gagah dan lambang kita.

“Kalau kita tidak sama-sama menolong termasuk menerusi Op Belang dan sebagainya, kita hanya dapat tunjuk lambang dalam Jata Negara dan pada baju T pasukan bola sepak negara sahaja.

“Jadi saya menyeru semua agensi, NGO, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis, pelajar-pelajar sekolah dan universiti untuk ramai-ramai kita membantu,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Harimau Sedunia di sini hari ini.



BACA: Selamatkan 'Raja Rimba' daripada kepupusan

Pada majlis sama beliau turut mengumumkan nama rasmi bagi tiga ekor anak Harimau Malaya, iaitu Wira, Hebat dan Melur yang baru berusia tiga bulan yang kini berada di Zoo Negara.

Turut hadir pada majlis hari ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.