Hampir 1,000 penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan kawasan persekitaran akan menghantar petisyen protes pada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membantah projek pembangunan baru yang dirancang di Taman Rimba Kiara di sini.

Petisyen tersebut ditanda tangani oleh penduduk di kawasan itu sebelum mereka berkumpul mengadakan protes di Taman Rimba Kiara pada Ahad.

Pengerusi Persatuan Penduduk TTDI, Abdul Hafiz Abu Bakar berkata kawasan itu merupakan sebahagian dari kawasan hijau (green lung) popular dalam kalangan penduduk TTDI.

Katanya antara tujuan bantahan itu dilakukan adalah untuk merayu kepada pihak DBKL agar tidak membenarkan pembangunan ini daripada berlaku.

“Bantahan ini diambil kira untuk Taman Rimba Kiara untuk kekal sebagai taman awam.

"Kami juga ingin meminta kepada pihak berkuasa untuk jangan menangguhkan lagi penempatan semula penduduk rumah panjang seperti yang telah dijanjikan kepada mereka 30 tahun lalu," katanya semasa satu sidang media di Taman Rimba Kiara pada Ahad.

Penduduk rumah panjang di kawasan itu masih menunggu untuk petempatan semula yang telah dijanjikan kepada mereka pada tahun 1982.

Abdul Hafiz berkata sekiranya pihak DBKL membina pangsapuri untuk penduduk-penduduk rumah panjang, mereka tidak ada bantahan, namun, sekiranya kawasan itu dijadikan tempat untuk membina sebuah blok pangsapuri mampu milik 29 tingkat serta lapan blok pangsapuri servis lebih 54 tingkat seperti perancangan, ia adalah sesuatu yang tidak dipersetujui oleh penduduk kawasan itu.

Abdul Hafiz berkata penduduk yang hadir ke bantahan itu telah menandatangani satu petisyen yang akan diserahkan berserta surat bantahan kepada pihak DBKL pada Isnin atau Selasa.

Beliau berkata setakat ini belum ada perancangan untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya pihak DBKL meneruskan rancangan pembangunan.