Selangor bebas beg plastik dan polistirena mulai 2017

Selangor bebas beg plastik dan polistirena mulai 2017
Peniaga di Selangor tidak lagi akan membekalkan beg plastik secara percuma selari dengan kempen #BebasPlastik. - Foto Astro AWANI / Tan Su Lin
SHAH ALAM: Bermula 1 Januari 2017, Hari Tanpa Beg Plastik yang sebelum ini hanya diadakan setiap hari Sabtu di Selangor akan dipanjangkan kepada tujuh hari seminggu.

Ini bermakna peniaga di Selangor tidak lagi akan membekalkan beg plastik secara percuma bermula tahun hadapan.

Menurut Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar´╗┐, Elizabeth Wong berkata bermula 1 Januari 2017, bekas makanan polisterena juga tidak lagi akan dibekalkan selaras dengan dasar kerajaan negeri untuk bebas plastik dan polistirena.

"Sebelum kita membuat dasar ini, kami telah menjalankan satu kaji selidik yang amat menyeluruh dan hasil maklum balas yang kami terima, 71% rakyat Selangor merasakan kempen 'Bebas Beg Plastik' pada hari Sabtu sahaja tidak memadai.
"Jadi kami rasa inilah masa terbaik untuk kita laksanakan kempen tanpa beg plastik dan politirena selama tujuh hari seminggu," katanya pada majlis pelancaran kempen #BebasPlastik di sini, hari ini.

Bagi peruncit yang akan memohon atau memperbaharui lesen perniagaan, antara syarat yang ditetapkan adalah larangan penggunaan polistirena dan beg plastik pakai buang.

"Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan memasukkan sebagai syarat tambahan untuk memperbaharui lesen di mana sesiapa yang ingin memohon lesen baharu atau memperbaharui lesen perniagaan, perlu mematuhi syarat-syarat berkenaan," katanya.

Gagal mematuhi syarat berkenaan, pihak pengusaha akan dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

Jika pengguna masih perlukan beg plastik, caj minima 20 sen akan dikenakan oleh peruncit.

Namun ujar Elizabeth, penggunaan beg plastik boleh dikecualikan untuk beberapa barangan basah seperti makanan dan sayur-sayuran.

"Kita faham ada beberapa barangan yang memerlukan beg plastik. Contohnya, makanan basah seperti daging, ikan, udang dan sebagainya. Ini juga termasuk sayur-sayuran seperti kentang, ubi dan sebagainya yang berakar dan mempunyai unsur tanah."

"Kita ada satu senarai barangan yang dikecualikan daripada dikenakan caj atas setiap pemberian beg plastik," katanya.

Selangor mula mengharamkan penggunaan beg plastik pada setiap hari Sabtu sejak tahun 2009.

Maklumat lanjut berhubung Kempen #BebasPlastik boleh layari www.bebasplastik.my