Selangor mencatatkan jumlah kes buang bayi tertinggi dalam tempoh dua tahun berturut-turut iaitu antara 2016 hingga Jun tahun ini berbanding negeri-negeri lain.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun sehingga Jun 2017 Selangor merekodkan 16 kes pembuangan bayi manakala pada tahun 2016 sejumlah 23 kes.

Menurutnya, berdasarkan rekod Polis DiRaja Malaysia (PDRM), pada 2016 sehingga Jun 2017, sebanyak 115 dan 59 kes pembuangan bayi telah dilaporkan,

"Pada 2016, Selangor menjadi negeri tertinggi dengan dengan 23 kes, diikuti 19 kes (Johor) dan Wilayah Persekutuan sebanyak 16 kes.

"Sementara itu, sehingga Jun tahun ini, Selangor masih mencatatkan kes pembuangan bayi tertinggi dengan 16 kes, diikuti Sabah dan Kuala Lumpur masing – masing sebanyak tujuh kes.

"Manakala tiada kes dilaporkan di Kelantan, Terengganu dan Sarawak bagi tahun 2017 sehingga bulan Jun," katanya di sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Rozman Isli (BN-Labuan) yang meminta kementerian itu menyatakan statistik terkini kes pembuangan bayi yang direkodkan mengikut negeri-negeri dan apakah langkah jangka panjang kementerian dalam memupuk kesedaran terhadap kesihatan reproduktif serta kesan negatif kehamilan dan kelahiran anak luar nikah yang semakin menjadi isu sosial dan membimbangkan.

Tambah Azizah, kementeriannya melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah melaksanakan pelbagai perancangan jangka pendek dan panjang bagi meningkatkan daya tindak dan daya tahan institusi kekeluargaan khususnya remaja serta ibu bapa dalam memupuk kesedaran terhadap kesihatan reproduktif bagi menangani masalah sosial remaja.

Katanya, melalui dasar dan pelan tindakan reproduktif dan sosial kebangsaan (PEKERTI), pelbagai inisiatif serta program telah dilaksanakan oleh agensi di bawah kementerian termasuk penubuhan pusat remaja kafe@Teen yang bertujuan meningkatkan akses kepada maklumat serta perkhidmatan kesihatan dan reproduktif dalam kalangan remaja yang berumur 13 hingga 24 tahun.

"Sejak penubuhannya pada 2006 hingga Jun 2017, program outreach kafe@Teen di sekolah-sekolah dan komuniti setempat telah berjaya mendekati seramai 632,512 orang remaja.

"Sebanyak 434,540 remaja telah mengambil bahagian dalam program-program pendidikan dan pembangunan kemahiran.

"Sebanyak 29,563 remaja telah mendapatkan perkhidmatan kesihatan rawatan reproduktif, manakala 9,097 orang remaja telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling sosial," katanya.