Selangor mencatat kes keganasan rumah tangga tertinggi iaitu sebanyak 91 kes (27 peratus) daripada 340 kes yang dilapor ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari awal tahun ini sehingga Jun lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, Pahang pula berada di kedudukan kedua dengan 56 kes (16 peratus) diikuti negeri Kedah sebanyak 34 kes (10 peratus).

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut 316 mangsa adalah perempuan dan 24 kes adalah lelaki.

“Bagi menangani isu keganasan rumah tangga, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil tindakan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521].

“Menerusi akta ini, kerajaan memperuntukkan perlindungan undang-undang dalam situasi keganasan rumah tangga dan perkara-perkara yang bersampingan dengannya.

“Tindakan segera akan dijalankan bersama agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), mahkamah dan agensi yang berkaitan bagi memastikan segala bentuk keganasan rumah tangga dapat dibendung,” katanya.

Hannah berkata demikian semasa menjawab soalan Natrah Ismail (PH-Sekijang) yang mahu KPWKM menyatakan statistik mangsa keganasan rumah tangga di seluruh negara.

Hannah sebelum ini dilaporkan berkata, sebanyak 83 peratus daripada 309 kes keganasan rumah tangga yang berpunca daripada penagihan dadah antara tahun 2015 hingga tahun lalu membabitkan mangsa wanita.

Statistik oleh JKM mencatatkan 3,573 kes keganasan rumah tangga secara keseluruhan dengan pelbagai faktor dalam tempoh yang sama.

Enam faktor utama daripada 25 faktor berlakunya keganasan rumah tangga adalah perselisihan faham iaitu sebanyak 692 kes, panas baran (658 kes), masalah kewangan (327 kes), cemburu (312 kes), penagihan dadah (309 kes) dan campur tangan pihak ketiga (177 kes).