Selangor gabung agensi berkaitan dadah, rangka pelan induk bersama

Selangor gabung agensi berkaitan dadah, rangka pelan induk bersama
Selangor merupakan antara negeri yang mencatatkan jumlah penyalahgunaan dadah tertinggi. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan menggabungkan kesemua agensi dan badan bukan kerajaan berkaitan dadah di negeri ini dalam masa terdekat bagi merangka satu pelan induk secara bersama untuk menangani gejala penyalahgunaan dadah.

Menteri Besarnya, Amirudin Shari berkata, langkah itu merupakan antara pendekatan yang diambil pihaknya bagi menyelaraskan semula kesemua usaha, gerak kerja dan bentuk penguatkuasaan agensi-agensi terlibat yang sebelum ini mungkin kurang tersusun.

"Kita akan buat majlis perundingan antidadah kebangsaan peringkat negeri untuk melihat dan menilai semua program bagi membentuk satu kerangka kerja baharu. Dijangka menjelang Oktober atau November ia mungkin sudah dibentuk.

"Untuk pembentangan bajet negeri tahun depan, kita akan wujudkan satu peruntukan khas bagi melaksanakan usaha secara lebih mantap dalam membanteras gejala dadah di Selangor," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Budi bersama Rakan Strategik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) di sini, pada Jumaat.

Menurut beliau, Selangor merupakan antara negeri yang mencatatkan jumlah penyalahgunaan dadah tertinggi dan disebabkan itu, usaha pembendungan gejala itu harus dilakukan secara bersama agar gerak kerja lebih kemas dan tersusun.

Katanya, kawasan Ampang dan Kajang merupakan antara kawasan panas penyalahgunaan dadah yang dikesan di Selangor kerana ia dilihat sering menjadi lokasi transit penagih dadah berikutan kedudukannya yang amat hampir dengan Kuala Lumpur.

Oleh itu kata Amirudin, usaha pencegahan penyalahgunaan dadah bukan sekadar tanggungjawab kerajaan dan agensi terlibat namun ia menuntut kerjasama daripada para ibu bapa, guru dan komuniti memandangkan pelbagai jenis dadah sintetik baharu semakin sukar dikenal pasti secara lahiriah. 

-- BERNAMA