Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Selangor kecualikan sewa empat PPR untuk April

Selangor kecualikan sewa empat PPR untuk April
Pengecualian sewa PPR bulan ini melibatkan tanggunggan kos sebanyak RM562,358 sementara penangguhan bayaran sewa bagi Mei dan Jun berjumlah RM1,124,716. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Seramai 2,632 penyewa di empat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor, boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri memberi pengecualian bayaran sewa untuk bulan April, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar negeri Haniza Mohamed Talha berkata, kerajaan Selangor juga membenarkan semua penghuni PPR berkenaan, menangguhkan pembayaran sewa bagi bulan Mei dan Jun ini.
"PPR yang terlibat adalah PPR Kampung Baru Hicom, PPR Kota Damansara, PPR Serendah dan Council Homes Bandar Baru Bangi, yang terdiri daripada keluarga golongan B40.

"Kerajaan negeri berharap perkara yang diputuskan ini, dapat mengurangkan beban ditanggung oleh semua penyewa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Haniza berkata, pengecualian sewa PPR bulan ini melibatkan tanggunggan kos sebanyak RM562,358 sementara penangguhan bayaran sewa bagi Mei dan Jun berjumlah RM1,124,716.

Katanya keputusan itu diambil berdasarkan aduan yang diterima, terdapat penyewa tidak mampu membayar sewa bulanan atas beberapa sebab, antaranya tidak dapat keluar berniaga dan hilang mata pencarian.

Beliau juga menyeru agar semua rakyat mematuhi arahan PKP yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini bagi membendung penularan wabak COVID-19.

-- BERNAMA