Peka dengan perkembangan industri pelancongan khususnya permintaan terhadap pelancongan berbentuk sejarah, Tourism Malaysia mengadakan program 'Selangor Royal Heritage Trail', baru-baru ini, yang disertai pengamal media serta pengusaha agensi pelancongan.

Tidak seperti kebiasaannya, Selangor Royal Heritage Trail memfokuskan kepada kekayaan sejarah dan warisan diraja negeri Selangor, merentasi tiga daerah iaitu Kuala Selangor, Kuala Langat dan Klang.

Bercakap pada majlis perasmiannya, Exco Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari memaklumkan Selangor Royal Heritage Trail akan menjadi platform bagi pelancong dalam dan luar negara untuk memahami dan menambah pengetahuan berkenaan institusi kesultanan Selangor yang bermula sejak ratusan tahun dahulu.

"Kali ini kita mahu menonjolkan Selangor, sebuah negeri yang termaju di Malaysia, turut kaya dengan sejarah kesultanannya dan kebudayaan dan keseniaan," kata Datuk Abdul Rashid.

Bagi Tourism Selangor pula, Selangor Royal Heritage Trail diharap dapat menarik agensi pelancongan untuk sama-sama mempromosikan warisan kesultanan Selangor dengan mewujudkan pakej bersesuaian dengan apa yang ditawarkan.

"Ini merupakan pakej pertama yang dibuat di Selangor yang fokus kepada sejarah kesultanan negeri Selangor.

"Orang kita sanggup keluarkan belanja beribu-ribu ringgit ke luar negara untuk tengok istana dan sejarah negara itu, jadi kita adaptasi konsep yang sama di Selangor.

"Kita mempunyai Istana Alam Shah, Istana Jugra dan Bukit Malawati yang mempunyai nilai tersendiri yang patut dipopularkan," kata Fadhirul Anuar Salleh, Pengurus Pembangunan Produk dan Perniagaan Tourism Selangor.

Antara lokasi yang disinggahi peserta sepanjang dua hari satu malam itu ialah lawatan tapak tinggalan bersejarah di Bukit Malawati, Makam Sultan Abdul Samad, Istana Bandar dan Istana Alam Shah.

Untuk rekod, pada 2018, Selangor mencatatkan 7.3 juta pelancong dengan 3.2 juta daripadanya adalah pelancong asing dari Eropah, China dan Jepun.

'Selangor Royal Heritage Trail' bakal bermula September depan, dan mereka yang berminat bolehlah menghubungi Tourism Selangor untuk mendapatkan maklumat berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan.