Selangor komited dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai hab perniagaan antarabangsa khususnya di ASEAN dan seterusnya menjadi pintu masuk bagi aktiviti dagangan di Malaysia.

Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shaari berkata kedudukan negeri Selangor yang strategik serta jumlah tenaga kerja yang melebih 3.4 juta orang merupakan satu kelebihan dan sebagai daya tarik pelaburan di negeri Selangor.

“Selangor sudah berjaya menjadi pemacu ekonomi terbesar dengan sumbangan 23.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun lalu.

“Negeri ini turut mencatat prestasi pelaburan terbaik dalam sejarah dengan pencapaian jumlah 18.9 bilion ringgit pelaburan pada 2018,” kata Amiruddin ketika berucap di Persidangan Perniagaan Antarabangsa Selangor 2019 ke-3 di Pusat Perdagangan dan Pameran Malaysia (MITEC) hari ini.

Persidangan ini turut menyaksikan perasmian khas oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Menurut Amiruddin, Selangor kini mempunyai visi ke arah negeri pintar (smart state) menjelang 2025 dan akan mewujudkan polisi ekonomi yang seiring dengan pembangunan infrastruktur khususnya dalam rangkaian pengangkutan dan pengurusan bandar.

“Bagi masa akan datang, kami akan menumpukan kepada sektor elektrik dan elektronik, makanan dan minuman, teknologi dan pembuatan.

“Saya berharap syarikat-syarikat di luar akan mempertimbangkan keputusan untuk melabur di Selangor,” kata Amiruddin.

Sementara itu, persidangan yang akan berlangsung sehingga 13 Oktober ini menyaksikan lebih 800 pempamer dari lebih 24 negara termasuk Amerika Syarikat, Qatar, Australia, Jepun dan China.

Antara program yang disediakan termasuk Persidangan Perniagaan Selangar ASEAN, Persidangan Bandar Pintar dan Ekonomi Digital, Ekso Pembangunan & Penyelidikan dan Inovasi, Persidangan Halal Selangor, Persidangan Usahawan Malaysia-China dan Ekso Antarabangsa Selangor.

Sebelum ini, persidangan yang dianjurkan oleh Invest Selangor sejak 2015 sudah berjaya mendapat kunjungan lebih 60,000 orang dari 33 negara dan mencapai nilai dagangan RM680 juta.