Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diminta menyelaraskan kadar tambang bagi perkhidmatan 'e-hailing' seperti Grabcar dan Uber.

Pengerusi Persatuan Pemandu Uber, Grabcar dan Zepp on Syed Rosli Syed Harman Jamalullail berkata, ia menjamin tiada harga tambang yang tidak munasabah seperti ketika ini.

"Langkah seterusnya yang kami sebagai pemandu-pemandu perkhidmatan e-hailing ini harapkan adalah akan ada garis panduan dari SPAD nanti bagi melindungi kami sebagai pemandu.

"Ini kerana sebelum ini syarikat pengendali perkhidmatan ini sering tidak berlaku adil terhadap kami sehingga ada antara kami yang tidak dibenarkan mengambil penumpang tanpa mendapat peluang untuk membela diri.

"Keutamaan pengguna menjadi keutamaan syarikat manakala kami sebagai pemandu sering dibuli oleh sistem yang berat sebelah," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Perkhidmatan e-hailing kini sah - Nancy Shukri

BACA:
Bank Data pemandu perkhidmatan teksi, e-hailing dicadangkan

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Malaysia mencatatkan sejarah sebagai negara pertama menjadikan perkhidmatan 'e-hailing' seperti Grabcar dan Uber sebagai satu perkhidmatan pengangkutan awam yang sah di sisi undang-undang.

Katanya, peruntukan bagi mengawal selia perkhidmatan 'e-hailing' itu menjadi kenyataan selepas Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 diluluskan di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu Syed Rosli melihat kelulusan itu merupakan sokongan kerajaan dalam perkhidmatan berkenaan.

"Ucapan jutaan terima kasih dari kami pemandu-pemandu perkhidmatan e-hailling kerana Kerajaan Persekutuan memberikan sokongan penuh kepada perkhidmatan e-hailing ini.

"Sokongan dari Ahli Parlimen juga kami ucapkan terima kasih. Tanpa sokongan majoriti sudah tentu Rang Undang-Undang ini tidak akan diluluskan di Dewan Rakyat.

"Saya berharap semua peringkat akan dapat memainkan peranan masing-masing dengan baik agar revolusi perkhidmatan e-hailing akan mendapat faedah yang baik bagi semua yang terlibat," jelasnya.

Dengan kelulusan RUU itu, pemandu e-hailing di Semenanjung kini tertakluk kepada bidang kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) manakala di Sabah dan Sarawak di bawah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Kedua-dua RUU itu turut menetapkan segala syarat-syarat yang dikenakan kepada pemandu teksi, kini akan turut terpakai kepada pemandu kenderaan 'e-hailing' termasuk pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan kenderaan berkala, keperluan dilindungi insurans dan kad pemandu.