Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis hari ini, mencatat peratusan keluar mengundi tertinggi berbanding 10 PRK sebelum ini yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang lalu.

Sehingga jam 5 petang tadi, peratusan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah 79.92 peratus.

Peratusan itu sekali gus memadam rekod PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada 13 April tahun lalu yang mencatatkan peratusan keluar mengundi 79.31 peratus.

Sementara, PRK Tanjung Piai yang berlangsung pada 16 November lalu menduduki tangga ketiga dengan peratusan keluar pengundi adalah 74.5 peratus pengundi.

SPR sebelum ini meletak sasaran 70 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mengundi bagi setiap PRK.

PRK Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu membabitkan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin.

Keputusan PRK Kimanis dijangka diketahui selewat-lewatnya pada pukul 10 malam ini.