Selepas hampir 30 jam, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos masih belum muncul selepas 'hilang' ketika proses jaminan mahkamah yang dibuat di Hospital Ampang Puteri di sini petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya giat mengesan kedudukan Jamal untuk menyelesaikan proses dokumentasi tersebut.

"Setakat ini (10 malam), kami belum dapat mengesan kedudukan beliau (Jamal). Kita berharap dia tampil dan bekerjasama untuk menyelesaikan proses jaminan mahkamah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Astro AWANI malam ini.

BACA: Jamal Yunos hilang

Semalam Jamal dilaporkan secara tiba-tiba hilang ketika proses jaminan mahkamah yang dibuat di Hospital Ampang Puteri di sini.

Fadzil berkata, 'kehilangan' Jamal itu berlaku antara pukul 5 ke 6 petang ketika pihak polis dan peguam sedang melakukan dokumentasi jaminan mahkamah.