Selepas enam jam, Ahmad Zahid masih lagi beri keterangan kepada SPRM

Proses mengambil keterangan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan dana sebuah yayasan dipercayai masih berjalan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Ketika ini, proses tersebut telah berlangsung selama enam jam sejak ketibaan beliau pada 9.15 pagi tadi dengan menaiki kereta Toyota Land Cruiser warna putih.

Turut hadir anak beliau iaitu Datuk Nurulhidayah untuk memberikan sokongan kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang mana semalam beliau turut diambil keterangan oleh SPRM berhubung siasatan kes yang sama.

Setakat ini, petugas media masih menunggu untuk melaporkan perkembangan mutakhir kes bekas timbalan perdana menteri di bangunan SPRM.

Puluhan wartawan tempatan dan antarabangsa kelihatan berkumpul di pekarangan ibu pejabat SPRM seawal 9 pagi untuk membuat liputan kes itu.

Ahmad Zahid kembali lagi ke SPRM buat kali keempat untuk direkod keterangannya mengenai dana Yayasan Akal Budi.

Terdapat dakwaan bahawa RM800,000 dana yayasan kebajikan itu digunakan untuk membayar bil kad kredit pemimpin UMNO itu dan isterinya.

Ahmad Zahid mengakui dana itu digunakan untuk membayar hutang kad kredit tetapi mendakwa ia kesilapan kakitangannya.