Selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim umum beberapa langkah reformasi Parlimen.

Ketua Umum PKR itu berkata, ia termasuk menubuhkan beberapa jawatankuasa pemilih seiring usaha reformasi institusi penggubal undang-undang itu.

"Kita akan mengusulkan pembentukan beberapa jawatankuasa pemilih untuk meneliti cadangan dan mengemukakan pandangan baru sekiranya perlu berbincang dengan pimpinan kerajaan.

"Tugas kita adalah untuk memantapkan perjalanan Parlimen selain menyokong kerajaan sekarang," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Anwar turut menegaskan bahawa peranannya ketika ini ialah memastikan kerajaan yang wujud hari ini stabil di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, beliau menyifatkan kemunculan semulanya ke Dewan Rakyat sekaligus menafikan segala tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau suatu ketika dahulu.

Jelasnya, hak beliau untuk menyerai politik telah dilucutkan sebelum ini kerana dipenjara susulan kes-kes bersifat fitnah, Liwat 1 dan Liwat 2.