Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang menjalankan kerja-kerja baik pulih jalan yang mendap di Jalan Perindustrian Pengkalan yang menyebabkan sebuah kereta terperosok ke dalamnya.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 11.30 pagi Isnin.

MBI dalam kenyataannya berkata, hasil dari siasatan pihak Jabatan Kerja Awam MBI mendapati sebahagian jajaran pembetung kekotak sepanjang 20 meter di jalan itu telah mengalami kerosakan.

“Sehubungan dengan itu, MBI telah giat menjalankan kerja-kerja pembaikan bagi mengukuhkan tanah asas bagi memasang semula pembetung yang tenggelam sehinggalah pelaksanaan kerja-kerja pembaikan jalan disempurnakan,” katanya.

Menurutnya, sebahagian laluan itu terpaksa ditutup dan lencongan telah dibuat bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan.

Kerja-kerja baik pulih dijangka mengambil masa seminggu.