Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini menyarankan semua pihak supaya menghormati undang-undang dan menyelesaikan pertikaian yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman, menerusi meja rundingan.

Beliau percaya dengan perbincangan bersama melibatkan semua pihak terbabit, ia dapat menyelesaikan pertikaian berlaku di kuil tersebut yang menjadi punca kepada rusuhan awal pagi semalam (Isnin).

"Dengan kebijaksanaan semua pihak yang terlibat, saya yakin perkara ini boleh diselesaikan melalui meja rundingan dengan mengambil langkah terbaik bagi kepentingan semua pihak," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya berada dalam kawasan Ahli Parlimen Kota Raja itu.

Justeru itu beliau menggesa semua pihak bertenang dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat terhadap apa yang berlaku sehingga boleh mewujudkan keresahan di kalangan masyarakat.

"Pertikaian yang berlaku di kuil tersebut juga berada di dalam kawasan Parlimen Kota Raja perlu ditangani secara baik dan mengikut proses undang-undang sewajarnya.

"Saya telah dimaklumkan bahawa insiden ini tiada kaitan sama-sekali dengan isu perkauman dan agama. Saya yakin bahawa pihak keselamatan akan mengambil langkah yang wajar untuk memastikan keselamatan dan keamanan sentiasa dipelihara," katanya.

BACA: Insiden Kuil Sri Maha Mariamman: 17 lelaki tempatan ditahan

BACA: Lima parah, dua kumpulan bergaduh di kuil

Syarikat pemaju One City Development Sdn Bhd (One City) dalam kenyataan medianya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan pihaknya terbabit dalam rusuhan yang berlaku di tapak kuil tersebut.

Insiden tersebut yang dipercayai berpunca daripada masalah perpindahan tapak kuil berusia lebih 100 tahun kini dalam siasatan polis.