Kemelut politik Sabah perlu diselesaikan segera bagi memberi fokus kepada pembangunan ekonomi rakyat di negeri itu.

Pensyarah Kanan Politik Ekonomi UiTM Sabah, Dr Firdausi Suffian berkata, hal ini penting memandangkan rakyat di Sabah sedang 'berjuang' dalam fasa pemulihan akibat pandemik COVID-19.

Menurutnya, penyelesaian secara tuntas perlu diambil sama ada pemimpin kerajaan negeri mahupun pembangkang.

"Kalau kita lihat (tindakan) melompat parti ini, ia melibatkan isu moral dan undang-undang. Di malaysia kita tidak boleh menghalang sebab prinsip demokrasi, tetapi kita kena ada prinsip.

"Selain itu, situasi (politik) yang berlaku itu perlu melihat kepada keadaan ekonomi yang akhirnya membebankan rakyat di bawah," katanya kepada Astro AWANI.

Awal minggu ini, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UPKO, Datuk James Ratib dan Datuk Limus Jury membuat keputusan keluar parti dan menyokong Kerajaan Pusat ditadbir Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keputusan itu memberi mesej jelas kemelut politik di Sabah benar-benar berlaku.

"Saya rasa pada masa sekarang ini saya berpandangan supaya para pemimpin harus memberi ruang dan melihat kepada keadaan ekonomi selepas COVID-19," katanya.