Tutup

Selfie maut di lautan bergelora

Selfie maut di lautan bergelora
Pengunjung melihat mayat remaja warga Yemen yang meninggal dunia selepas lemas di kawasan perairan Pantai Cenang, Langkawi pada Sabtu.
LANGKAWI: Tindakan seorang remaja warga Yemen yang berswafoto di atas sebuah jet ski dalam keadaan laut bergelora membawa padah apabila dia terjatuh dan lemas di kawasan perairan Pantai Cenang, Langkawi pada Sabtu.

Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, mangsa, Al-Shabibi Ibrahim Manueer, 17, dikatakan bertindak membuka jaket keselamatan yang dipakainya sebelum terjatuh ke dalam laut dan lemas.

Menurut Pegawai Bencana Operasi dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Langkawi, Leftenan Pertahanan Awam Azamshah Apearal, mangsa didakwa mengingkari arahan pemaju sukan pantai untuk tidak meninggalkan jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti air.
Katanya, pasukan operator sukan pantai yang menyedari kejadian tersebut berusaha membri bantuan awal sebelum membawa mangsa ke kawasan menara penyelamat pantai berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata, polis telah menerima panggilan kecemasan daripada seorang pemilik jet ski sekitar pukul 11.15 pagi memaklumkan terdapat seorang pelancong asing dikhuatiri lemas di Pantai Cenang.
Sejam kemudian, rakan mangsa, kata beliau, tampil membuat laporan polis berhubung kejadian yang menimpa mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi.

Mangsa, kata Iqbal, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Langkawi.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik hospital berkenaan bagi proses bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagi mati mengejut.

Tag: Selfie maut di lautan bergelora, selfie, swafoto, Langkawi


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.