Lelaki warga asing berusia 39 tahun diberkas bersama rokok seludup bernilai RM60,160 di jalan lama Telupid-Sandakan (Mongsoh) kira-kira pukul 12 tengah hari, Sabtu.

Pegawai Memerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, operasi yang diketuai oleh Inspektor Oliver @ Syairul Nordin bersama anggota PGA lain telah menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna perak yang dipandu oleh seorang lelaki.

"Apabila memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis, dan membuat pemeriksaan ke atas kenderaan itu, kami mendapati sejumlah rokok yang dipercayai diseludup disorok dalam kenderaan tersebut.

Pegawai seterusnya menahan suspek bersama barang rampasan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluram untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Nasaruddin, hasil pemeriksaan pada rokok seludup itu mendapati kira-kira 71,500 bungkus rokok pelbagai jenama dan dianggarkan bernilai RM60,412 selepas cukai.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967.