Kerajaan hari ini mengambil keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di keseluruhan Menara City One, Jalan Munshi Abdullah di sini bermula tengah malam ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada Menteri Kesihatan.

Ia selepas 17 kes positif jangkitan COVID-19 dilaporkan di menara tersebut.

“Mengambil kira jumlah kes tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan ketiga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (Enhanced Movement Control Order).

“Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ini melibatkan 3,200 orang penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan di menara itu.

“Perintah ini akan berkuatkuasa mulai 31 Mac 2020 hingga 13 April 2020. Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar,” jelasnya dalam satu kenyataan kepada media.

Selain itu, ujarnya langkah itu diambil bagi akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.


Tambahnya, dengan pelaksanaan perintah itu, semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan selain bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

“Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan (essentials) di menara tersebut.

“Penghuni boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar di lobi keselamatan pintu utama menara,” katanya.

Malah, Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD setelah semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

Bagi memastikan pematuhan perintah ini, katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.