Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menafikan dakwaan pihaknya mengeluarkan statistik berkaitan pekerja asing tanpa izin (PATI).

Menerusi kenyataan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) pada Selasa, DOSM menjelaskan pihaknya hanya mengeluarkan data awalan Statistik Tenaga Buruh (STB) bagi tahun 2019 pada 11 April 2020 yang merangkumi statistik tenaga buruh warganegara dan bukan warganegara sahaja.

“Orang awam disarankan agar mendapatkan statistik rasmi melalui portal DOSM di www.dosm.gov.my atau media sosial DOSM @StatsMalaysia,” katanya.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Selangor menafikan video tular berkaitan operasi penangkapan warga asing termasuk etnik Rohingya secara besar-besaran oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Selayang.

“Situasi tersebut merupakan pemindahan 52 orang warga asing di kawasan PKPD Selayang Baru ke pusat kuarantin Institut Perakaunan Negara, Sabak Bernam bermula 25 April 2020,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) turut menafikan dakwaan bahawa makmal ujian COVID-19 di Hospital Umum Sarawak tidak berfungsi.

Sebaliknya, KKM menegaskan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang makluman mengenai makmal ujian COVID-19 di Sarawak yang gagal berfungsi.

“Buat masa ini, terdapat tiga buah makmal ujian COVID-19 di Sarawak iaitu di Hospital Umum Sarawak, Kuching, di UNIMAS Kota Samarahan dan di Hospital Sibu.

“Sekiranya makmal di hospital umum mengalami masalah untuk menjalankan ujian COVID-19, KKM akan menggunakan sumber luar di makmal swasta,” katanya.