Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan mengeluarkan poster memohon sumbangan barangan asas untuk penghuni Perumahan Awam (PA) dan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam kenyataan pada Jumaat, turut menyatakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan pasukan itu mengeluarkan arahan perintah berkurung bermula jam 6 petang hingga 7 pagi dan akan menangkap sesiapa yang melanggar arahan berkenaan.

PDRM bagaimanapun meminta orang ramai patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan ketika ini.

Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) juga menafikan kementerian itu mengkategorikan kawasan Batu Pahat sebagai zon merah COVID-19.

Untuk rekod, setakat pukul 10 pagi Jumaat, sebanyak 11 kawasan atau daerah dari seluruh negara telah dilabelkan sebagai kawasan zon merah akibat wabak COVID-19.

Berikut adalah daerah yang dilabel sebagai kawasan zon merah mengikut taburan kes tertinggi:
Lembah Pantai (167 kes)
Petaling Jaya (167 kes)
Hulu Langat (132 kes)
Seremban (78 kes)
Johor Bahru (68 kes)
Kluang (54 kes)
Gombak (53 kes)
Titiwangsa (49 kes)
Kota Bharu (48 kes)
Hilir Perak (48 kes)
Kinta (41 kes)

.