Seekor lembu jantan milik seorang penduduk yang terjatuh ke dalam sebuah perigi buta berjaya dinaikkan oleh anggota bomba dan penyelamat selepas aduan dibuat pemilik haiwan ternakan itu.

Menurut Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Jeli, Pegawai Bomba, Norazman Sulaiman, lembu dengan berat lebih 150 kilogram itu dipercayai terjatuh dalam sebuah perigi tanpa air di Kampung Baru Sungai Mekong di sini lewat petang Sabtu.

"Pihak Bomba menerima panggilan dari tuan punya lembu sekitar jam 9.30 pagi tadi sebelum memulakan operasi menaikkan lembu jantan yang berada dalam perigi sedalam 10 kaki.

"Lembu berkenaan dimiliki oleh seorang penduduk kampung yang dikenali sebagai Kak Ha," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Empat anggota bomba dan penduduk kampung bertungkus-lumus cuba menaikkan lembu itu. - JBPM

Tambahnya, pihak bomba dengan empat orang anggota dengan dibantu pemilik lembu dan seorang penduduk kampung berjaya menaikkan lembu jantan itu dalam masa 25 minit.

Menurut Norazman, pihaknya mengikat tali di bahagian kepala dan juga badan sebelum menariknya naik dari dalam perigi berkenaan.

"Lembu berkenaan tidak meronta, kerana tiada ruang disebabkan badannya yang muat-muat dengan perigi, ketika dinaikkan lembu berkenaan mengalami luka di bahagian kepala dan kaki," tambahnya.

Kesan kecederaan itu dipercayai berpunca dari geseran ketika lembu itu terjatuh, katanya.

Katanya lembu itu berada dalam keadaan sihat namun kepenatan disebabkan semalaman terperangkap dalam perigi.

Lembu berkenaan diserahkan kepada pemiliknya selepas operasi khidmat khas tamat.