Pembukaan semula sesi persekolahan bagi dua buah sekolah rendah di Lipis yang sepatutnya bermula hari ini ditangguhkan berikutan kawasan berkenaan dilanda banjir.

Menurut Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Zaimi Abu Bakar berkata, dua buah sekolah berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Chegar Perah dan SK Aur Gading yang membabitkan seramai 123 murid dan 22 guru.

"SK Chegar Perah tidak dibuka kerana dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) manakala SK Aur Gading pula tidak dibuka kerana jalan ke sekolah itu dinaiki air.

"Jumlah pelajar yang hadir ke sekolah pula pada hari ini bagi sekolah menengah seramai 89,600 orang manakala sekolah rendah 44,038," katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Teruntum di Kuantan hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang, Datuk Abdul Aziz Salleh.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, sesi persekolahan yang kembali dibuka bermula hari ini di Pahang berjalan lancar dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) normal baharu.

"Kita di Pahang ada 740 buah sekolah menengah dan rendah. Setakat ini kita bersyukur kerana berjalan lancar dan mengikut SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Saya lihat murid-murid seronok dan gembira. Guru-guru pun bersemangat dengan pembukaan ini. Kita harapkan semua ini berjalankan lancar di sekolah nanti," katanya.

Berdasarkan portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 401 orang daripada 105 keluarga dipindahkan ke dua PSS di Lipis iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Chegar Perah dan Balora Aur Gading.