Sembilan kes jangkitan virus influenza direkodkan di Terengganu, membabitkan dua keluarga berasingan di daerah Setiu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata kes berkenan direkodkan pada 5 dan 7 Januari lalu.

Katanya, menerusi jumlah itu, lima daripadanya positif Influenza A dan tiga positif Influenza B.

Menurut Nor Azimi dalam satu kenyataan hari ini, kesemua mangsa yang berusia antara tiga dan 38 tahun, dilaporkan stabil.

Jelasnya, kes itu telah disahkan oleh fasiliti swasta serta diberi rawatan tamiflu.

Katanya, kluster penyakit seperti influenza (ILI) ini dalam keadaan terkawal dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan kerjasama Pejabat Daerah Setiu akan terus memantau kejadian tersebut.

Justeru, orang awam dinasihatkan untuk menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan serta patuh kepada etika batuk dan bersin.

Masyarakat juga dinasihatkan untuk segera ke hospital atau klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan.

Manakala bagi golongan berisiko, dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin influenza di klinik swasta.