Sembilan maut manakala seorang cedera parah apabila kenderaan mereka bertembung dalam sebuah kemalangan di Jalan Besar South Malaysia Trading (SMTD), Ayer Kuning, dekat sini pada pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar 6.30 pagi itu, kesemua sembilan mangsa terdiri daripada lapan perempuan dan seorang lelaki berusia sekitar 40 hingga 60 tahun maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah, Asisten Komisioner Som Sak A/L Din Keliaw berkata kesemua mangsa yang menaiki van dipercayai dalam perjalanan ke ladang sayur berhampiran Mambang Di Awan sewaktu insiden berlaku.

"Siasatan awal, kami percaya lori ais itu sedang dalam perjalanan dari Mambang Di Awan ke Ayer Kuning telah memasuki laluan van terbabit dan berlanggar secara berdepan.

"Berikutan pertembungan itu, seorang lelaki dan lapan perempuan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tapah, di sini hari ini.

Jelas beliau, pemandu lori berkenaan mengalami kecederaan parah patau kaki dan kini telah dihantar ke Hospital Kampar mendapatkan rawatan lanjut.

Som Sak berkata pihaknya akan memeriksa secara lanjut sebarang kesalahan lampau pemandu lori ais berkenaan.

Katanya, kawasan kejadian adalah berhampiran lokasi hotspot kemalangan yang sering berlaku di selekoh jalan berhampiran.