Masih ada empat titik kawasan di Sarawak dan lima titik kawasan di Sabah yang masih belum diselesaikan status rundingan persempadanannya, kata Kementerian Luar hari ini.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, berkata demikian ketika menjawab soalan berkenaan rundingan persempadanan antara Malaysia dan Indonesia.

Katanya titik-titik kawasan tersebut ialah Sungai Sinapat, Sungai Sesai, Sungai Simantipal, dan dua lagi kawasan yang berhampiran Sungai Batik.

“Untuk makluman, kerja-kerja penyelenggaraan dan pengukuran Malaysia-Indonesia bermula sejak 9 September 1975 dan berjaya meliputi jarak sejauh 2,019.5 kilometer.

“Walau bagaimanapun (di Sarawak) masih ada empat titik yang belum diukur dan dipersetujui bersama, manakala sektor Sabah masih terdapat lima titik belum dicapai persetujuannya,” kata beliau ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen BN-Saratok, Tan Sri William Mawan Ikom yang menanyakan tentang status terkini rundingan tersebut.

Soalan tambahan juga diajukan oleh Ahli Parlimen BN-Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh yang turut menyuarakan kekhuatiran berhubung pendatang asing yang sering keluar masuk ke negara untuk melakukan jenayah.

“Jadi kita punyai masalah kerana kita tidak tahu bagaimana hendak bertindak… mereka menyeberang ke sini dan buat jenayah,” kata Abdul Ghapur.

Mengulas tentang mekanisma penyelesaian, kata Hamzah, tindakan itu dilakukan melalui kerangka jawatankuasa kerjasama Malaysia-Indonesia menerusi mesyuaratnya pada tahun lalu dan tahun ini.

“Melalui darat, penyelesaian dilakukan melalui kerangka jawatankuasa kerjasama Malaysia-Indonesia, mesyuarat ke-39 jawatankuasa bersama sempadan pada 26 hingga 29 November 2014, manakala yg ke-40 akan dihoskan oleh Indonesia pada tahun ini,” jelasnya.

Tambah Hamzah, berhubung persempadan maritim Malaysia-Indonesia pula, ianya dirundingkan di bawah mekanisma mesyuarat teknikal pembatasan maritim Malaysia-Indonesia.