Semburan kabus atau fogging yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan hanya berfungsi membunuh nyamuk dan bukannya jentik-jentik yang membiak di sekitar kawasan rumah.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, persepsi itu perlu dibetulkan bagi mengelakkan masyarakat terus salah faham mengenai usaha pembasmian denggi.

“Semburan tersebut hanya untuk membunuh nyamuk sahaja. Jentik-jentik tidak akan mati dengan semburan itu, sebab itu kita kena pertingkatkan usaha-usaha membasmi nyamuk itu menerusi pelbagai pendekatan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai isu peningkatan jumlah kes Chikungunya yang melanda negara dimana negeri Selangor mencatatkan bilangan kes tertinggi bagi tempoh awal tahun ini hingga 7 Februari lalu.



Tambah beliau, sebanyak 1, 740 buah rumah telah dilakukan semburan bagi mengawal pembiakan nyamuk.

“Sehingga kini, kita telah lakukan aktiviti kawalan setiap hari dengan jumlah aktiviti pemusnahan tempat pembiakan Aedes melibatkan 649 buah rumah. Sebanyak 1, 740 rumah telah dibuat semburan kabus berkenaan.

“Setakat ini, tiada pengumuman terdapatnya vaksin yang boleh mencegah penyakit berkenaan,” ujarnya lagi.

Sehingga kini, sebanyak 23 kes penyakit Chikungunya disahkan di seluruh negara dan kesemua mangsa dirawat sebagai pesakit luar serta tiada pesakit dimasukkan ke hospital.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Dana Medical4Gaza Econsave bersama MyCARE di Econsave Alam Jaya.