Calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali yang tiba lewat di pusat undi awal pada Selasa berkata kelewatan beliau disebabkan faktor teknikal.

Katanya, beliau telah terlebih dahulu tiba di Kem Batallion 4 PGA Semenyih pada jam 8:50 pagi.

Namun, disebabkan pas calonnya serta beberapa dokumen lain tertinggal di dalam sebuah kereta, beliau terpaksa menunggu di depan kem tersebut.

“Kereta itu sudah bergerak ke Kuala Lumpur, jadi saya terpaksa menunggu hampir tiga jam,” katanya kepada pemberita selepas tiba di sini pada jam 11:40 pagi.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih pada 2 Mac ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Aiman, calon Barisan Nasional Zakaria Hanafi, calon Parti Sosialis Malaysia Nik Aziz Afiq Abdul dan calon BEBAS Kuan Chee Heng.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.