HANYA tinggal kurang daripada 200 ekor harimau Malaya di Semenanjung Malaysia manakala badak sumbu Sumatera pula kini hanya tinggal kenangan.

Adakah itu juga nasib bagi tapir Malaya yang sehingga kini bilangannya didapati kurang daripada 1,500 ekor di seluruh Semenanjung Malaysia?

“Kita harus bertindak pantas sebelum terlambat seperti apa yang telah berlaku kepada populasi badak sumbu Sumatera dan badak Jawa di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Sabah Environmental Trust, Dr Rahimatsah Amat kepada Astro AWANI sempena Hari Tapir Sedunia, pada Isnin.

Kata Rahimatsah, memperkenalkan semula habitat selamat atau safe haven di Sabah bagi tapir Malaya mampu menambah peluang bagi spesies itu membiak di bawah pemantauan pakar dan saintis sekali gus mengurangkan risiko kepupusan.

“Perkara ini penting untuk pemeliharaan populasi spesies tapir yang unik di Sumatera, Semanjung Malaysia dan sebahagian Thailand dan kita tidak ingin lihat populasi itu semakin kurang sebelum melakukan sesuatu,” ujarnya.

Menurut Dr Rahimatsah lagi, pelan safe haven adalah satu kaedah saintifik bagi mengurangkan risiko kepupusan sesuatu spesies dengan membahagikan populasi haiwan itu di dua kawasan, berbanding membiarkannya pupus di satu kawasan dengan kadar kematian tinggi.

Kadar kematian tapir Malaya di Semenanjung Malaysia ialah antara 30 hingga 35 ekor setiap tahun, lazimnya disebabkan kemalangan jalan raya.

Ditanya berkaitan lokasi untuk memulakan program safe haven tapir Malaya, Dr Rahimatsah mencadangkan Borneo Rhino Sanctuary, Lahad Datu yang kini terbiar dan sangat sesuai bagi kehidupan dan pembiakan spesies berkenaan.

Tapir merupakan haiwan terlindung dibawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Hari Tapir Sedunia disambut pada 27 April setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan konservasi spesies tapir dan habitatnya di seluruh dunia yang diancam kepupusan.

BACA: Lapor pencerobohan hutan, pemburuan haram elak Tapir Malaya pupus