Tutup

Sempadan negara dibolosi, anggota penguatkuasa 'buta' mata

Sempadan negara dibolosi, anggota penguatkuasa 'buta' mata
Kegiatan berkenaan dipercayai dilakukan dengan jarak yang begitu dekat dengan pos kawalan pihak berkuasa, namun anggota yang bertugas langsung tidak mengendahkan aktiviti menyalahi undang-undang itu. Gambar ASTRO AWANI / SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Seolah-olah tidak nampak ... 

Itu seolah apa yang dilakukan anggota penguatkuasa di sempadan negara di Padang Besar, Perlis terhadap kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi secara berleluasa ke luar negara.

Perkara itu dibongkar menerusi pendedahan mengejutkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi rakaman CCTV kegiatan pembolosan penyeludupan rentas sempadan yang dijalankan sindiket dipercayai didalangi rakyat tempatan.

Modus operandi yang digunakan oleh kumpulan sindiket tersebut adalah dengan mendekati anggota penguatkuasa, dipercayai dengan memberikan rasuah - sebagai mendapatkan “keizinan” untuk mereka (kumpulan sindiket) menjalankan aktiviti penyeludupan.
Menerusi klip video tersebut, sindiket-sindiket berkenaan dilihat dengan mudah dan berani memikul barangan seludup, sebelum menyerahkan kepada individu di luar sempadan negara, melalui pagar sempadan berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar.

Penyeludupan CIQ Padang Besar
Malah, kegiatan tersebut dilakukan dengan jarak yang begitu dekat dengan pos kawalan pihak berkuasa, namun anggota yang bertugas langsung tidak mengendahkan aktiviti menyalahi undang-undang itu.

Lebih mengejutkan, terdapat rakaman menunjukkan pihak penguatkuasa memberhentikan kenderaan mereka seketika, seolah memberi laluan kepada kumpulan berkenaan melintasi jalan dengan memikul barangan seludup.

Seludup CIQ Padang Besar

Kumpulan terbabit juga dilihat begitu licik apabila turut melakukan persiapan rapi dengan menyediakan pos kawalan sementara di kawasan sekitar dan kenderaan untuk membawa barangan yang diseludup.


Visual yang didedahkan hari ini adalah hasil daripada ribuan klip video dirakam sumber tidak dinamakan oleh SPRM di sepanjang kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar.

Menurut Ketua Cawangan Audio Video, Bahagian Forensik SPRM, Penguasa Kanan, Badri Azni, antara yang diseludup adalah barangan bersubsidi seperti gula, tepung, minyak masak dan baja.

Menurut Ketua Cawangan Audio Video, Bahagian Forensik SPRM Penguasa Kanan, Badri Azni, antara yang diseludup adalah barangan bersubsidi seperti gula, tepung, minyak masak dan baja.

“Video diperolehi hasil risikan dan kejayaan menerusi penembusan ke atas sistem rakaman di sempanan utara negara. Aktiviti penyeludupan sering menggunakan waktu pertukaran shif seawal jam 6 pagi hingga 9 pagi," kata Badri.

“Melalui video ini, kita juga dapat melihat bungkusan disyaki mengandungi daun ketum dibawa dengan mudah. Harga ketum sekilogram di Malaysia ialah RM18, manakala di Thailand RM100, jadi ketum memberikan keuntungan berlipat ganda kepada penyeludup,” tambahnya.

Mengelak daripada dikesan, jelas Badri, kumpulan penyeludup turut menggunakan walkie-talkie bagi berkomunikasi dengan ahli kumpulan lain bagi memaklumkan mengenai kehadiran anggota keselamatan.

Modus operandi 'penyeludup'?

“Lazimnya, apabila selesai ‘trip’ penghantaran (ke negara jiran), kesan tapak kasut (penyeludup) akan dicuci atau kanvas direntang di sepanjang laluan lintasan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” kata Badri.

Dalam pada itu, Badri memaklumkan anggota keselamatan di pos kawalan hanya dilihat bermain telefon bimbit dan seolah tidak tahu apa yang berlaku di hadapan mereka.

Klip video berdurasi 11 minit itu dirakam antara tahun 2017 hingga Mei 2019. 

Kesemua ribuan komplikasi video aktiviti penyeludupan telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan lanjut.