Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberi bayangan kemungkinan sempadan negara jiran akan dilonggarkan jika kes transmisi tempatan terkawal.

Walaupun begitu, beliau menegaskan, kedua-negara perlu mencapai persetujuan prosedur operasi standard (SOP) bersama dan kelonggaran itu hanya melibatkan negara green bubble iaitu negara zon hijau.

Katanya, selepas melihat pada indeks global jangkitan COVID-19, kerajaan boleh mula berbincang dengan negara-negara jiran seperti Singapura, Brunei dan Thailand.

"Jika kita dapat melihat perkembangan positif seperti sekarang, kemungkinan kita boleh mempertimbangkan untuk melonggarkan sempadan negara.

"Sekiranya kes transmisi tempatan dan semua sektor pulih seperti sedia kala, langkah seterusnya adalah fokus pada kawalan sempadan negara," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham menjelaskan, ujian pengesahan COVID-19 berjalan seperti biasa namun terdapat sedikit pengurangan dari segi jumlah sampel di makmal pada Selasa.

"Operasi saringan berjalan sepeti biasa, tetapi sampel di makmal kurang sikit, iaitu kira-kira 27,000 sampel kerana sampel-sampel yang dihantar tidak sempat dilaporkan," katanya sebagai mengulas mengenai bilangan jangkitan COVID-19 yang semakin berkurangan.