Bukan sahaja Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), bahkan semua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, termasuk Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), akan diaudit kembali bagi mengesan penyelewengan.

Menteri di JPM Datuk Dr Mujahid Yusof berkata beliau tidak akan berdiam diri atau membiarkan sebarang bentuk penyelewengan terdahulu kerana agensi berkenaan berkaitan dengan kepentingan awam.

"Sekarang semua (agensi) ada dalam fail kita untuk kita lihat di mana masalah yang timbul. Dan saya beri jaminan, segala perkara yang kita dapati ada penyelewengan, sudah tentu kita tidak akan biarkan, melainkan akan ada auditing.

"Dan kemudian, jika (perlu) ada tindakan undang-undang seterusnya, kita serahkan kepada pihak yang berautoriti," katanya pada satu sidang media di sini malam tadi.

Pada 2017, seorang pengarah kanan YaPEIM pernah ditahan reman bagi membantu siasatan kes pecah amanah manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pernah mengambil keterangan seorang bekas timbalan presiden yayasan itu berhubung dakwaan kes penyelewengan dana pilihan raya kecil.

Ditanya sama ada pihaknya mungkin mengkaji semula kes berkaitan Yapeim, Mujahid berkata: "Terpulang kepada apa yang kita dapat. Tak mungkin saya boleh teruskan kalau saya tahu dalam kepimpinan terdahulu berlaku berbagai perkara. Takkan saya nak diamkan."

Beliau berkata pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Audit Negara untuk menjalankan tugasnya dan sekiranya terdapat unsur disyaki penyelewengan, terserah kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Mengulas mengenai siasatan ke atas IKSIM, menurutnya sehingga kini tiada tangkapan dibuat dan ia masih di peringkat penilaian oleh Jabatan Audit.

Isnin lalu, Mujahid berkata, kerajaan membekukan sementara akaun dan aktiviti dirancang IKSIM berkuat kuasa serta-merta setelah RM7.43 juta daripada RM7.6 juta perbelanjaan dan pembayaran yang dibuat institut itu tidak dapat dikesan

Katanya, langkah itu bertujuan membolehkan IKSIM melalui proses pemulihan daripada unsur penyelewengan dana korporat.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, satu penilaian sedang dibuat ke atas lebih 30,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan guru takmir di seluruh negara.

Penilaian itu dibuat bagi menentukan kedudukan dan tahap pengajaran dalam usaha memastikan golongan terlibat benar-benar menjalankan tugas mereka mengikut ko kurikulum yang ditetapkan.

Kerajaan bagaimanapun tidak membekukan elaun mereka dan guru KAFA serta takmir masih menerima elaun mereka.

Dalam perkembangan lain, Mujahid berkata jawatankuasa yang ditubuhkan antara pentadbiran kerajaan Persekutuan terdahulu dan kerajaan negeri dalam membincangkan Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) kini tidak lagi berfungsi.

"Dasar kerajaan baharu melihat Mahkamah Syariah dalam kerangka yang lebih holisitik. Ia lebih melihat kepada intipati dari segi hakim, penguatkuasaan, infrastruktur dan lain-lain.

"Perkara-perkara itu adalah keutamaan kita, maka sekadar RUU355 itu belum menentukan bahawa mahkamah boleh diperkasakan," katanya.