Sebanyak 475 institusi pendidikan dalam kawalan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di daerah Pasir Gudang diarah tutup serta merta mulai esok hingga 27 Jun ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Azman Adnan berkata, jumlah itu membabitkan sebanyak 111 sekolah rendah dan menengah kerajaan, tiga institusi pendidikan tinggi, 14 sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 tadika swasta.

“Institusi pendidikan tersebut ditutup supaya kerja-kerja berkaitan mengatasi isu bahan punca pencemaran dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pengetua dan guru besar agar memaklumkan segera kepada semua murid, guru, ibu bapa serta kakitangan dalam kawalan mereka dan mengambil tindakan susulan berkaitan penutupan itu.

BACA: Kawasan Sungai Kim Kim telah dibersihkan sepenuhnya - Zuraida

Dalam pada itu, kata Azman, pihak jabatan akan sentiasa membuat pemantauan rapi dan membantu sekolah-sekolah bagi memastikan kesejahteraan murid-murid berada dalam keadaan yang terbaik.

“Marilah kita bersama mendoakan supaya insiden ini akan dapat diatasi segera dan sekolah akan dapat beroperasi seperti biasa demi kebaikan para murid,” katanya.

BACA: 30 buah kilang kimia bakal disiasat - MB Johor

Terdahulu, sekurang-kurangnya 75 individu dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) selepas mengalami sesak nafas dan muntah sejak Khamis lalu.

Daripada jumlah itu, empat pesakit masih menerima rawatan di wad biasa HSI.

Menurut Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah pencemaran bau dan udara di Pasir Gudang yang berlaku sejak Khamis lalu berbeza dengan insiden pencemaran Sungai Kim Kim, sebelum ini.