Kedudukan anggota pentadbiran berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah terbatal pada Isnin.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan untuk membatalkan pelantikan menteri-menteri atas nasihat Perdana Menteri.

Perkara itu tertakluk dalam peruntukan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan pada 24 Februari 2020 selaras dengan peletakan jawatan Perdana Menteri.

“Sehubungan itu, tugas-tugas anggota pentadbiran, merangkumi Timbalan Perdana Menteri, para menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik, adalah terhenti pada tarikh yang sama," ujar Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima peletakan jawatan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, baginda telah berkenan untuk melantik Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri interim, sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.