Semua masjid, surau dan Surau Kebenaran Solat Jumaat di Selangor dibuka untuk solat Jumaat dan solat fardhu bermula Jumaat ini.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan mengenai perkara itu setelah mendapat taklimat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan data terkini wabak COVID-19 di negeri ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, bagaimanapun bilangan jemaah yang boleh menunaikan solat pada satu-satu masa di masjid serta surau di Selangor masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya, jumlah jemaah yang ditetapkan bagi solat Jumaat dan solat fardhu adalah 1,000 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

"Manakala jumlah jemaah bagi semua masjid lain untuk solat Jumaat dan solat fardhu ditetapkan maksimum 500 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid yang mana ia tertakluk kepada kapasiti masjid berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi Surau Kebenaran Solat Jumaat, jumlah jemaah untuk solat Jumaat dan solat fardhu ditetapkan 40 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau itu.

Untuk surau bagi solat fardhu pula kata Mohamad Munir, jumlah jemaah yang ditetapkan 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau.

Mengenai ibadah korban sempena Aidiladha, beliau berkata, Sultan Sharafuddin bertitah supaya ia dilakukan di masjid sahaja dan mana-mana surau yang telah merancang untuk melakukan ibadah itu boleh melaksanakannya di masjid berdekatan.

Mohamad Munir berkata, segala pelaksanaan dan urusan pentadbiran berkaitan titah terbaharu Sultan Selangor akan dikeluarkan oleh JAIS serta jawatankuasa masjid dan surau berkaitan.

"Baginda turut menitahkan supaya semua jemaah mematuhi SOP yang ditetapkan khususnya berwuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, memakai pelitup separuh muka semasa hadir ke masjid atau surau serta mengamalkan jarak sosial. Mereka yang tidak sihat dilarang untuk solat di masjid serta surau," katanya.

-- BERNAMA