Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menggesa setiap anggota masyarakat memainkan peranan dalam menangani jenayah kewangan di negara ini.

Langkah itu perlu dalam usaha memastikan matlamat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju tercapai.

"Negara kita pernah bersama-sama berikrar untuk membangunkan ekonomi Asia. Rasuah dan ketamakan yang berleluasa telah menyesatkan haluan negara kita.

"Ini tidak boleh lagi berlaku. Reputasi negara perlu diperbaiki semula. Kita berusaha meningkatkan reputasi dan kredibiliti di mata dunia," katanya semasa berucap semasa menyampaikan amanat khas di Persidangan Antarabangsa ke-11 Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2019 di ibu negara.

Pada majlis itu, Tun Dr Mahathir turut melancarkan inisiatif Kerjasama Awam-Swasta (PPP) iaitu hasil kolaboratif dan usaha antara Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, agensi penguatkuasa undang-undang dan institusi kewangan bagi memerangi jenayah kewangan secara lebih berkesan.

Tun Dr Mahathir berkata, institusi swasta dan rakyat mempunyai berperanan dalam memastikan sistem kewangan negara yang berintegriti.

Menurutnya, tanpa ketelusan dan akauntabiliti, usaha kerajaan untuk mencapai misi Wawasan Kemakmuran Bersama tidak akan tercapai.

"The Edelman Trust Barometer menunjukkan peningkatan tahap keyakinan orang awam dalam kerajaan iaitu daripada 46 peratus pada 2018 kepada 60 peratus pada 2019.

"Kedudukan Malaysia juga naik tiga tangga iaitu daripada tangga ketujuh pada 2016 kepada tangga keempat pada 2018 daripada 12 Negara Asia Pasifik," tambahnya.

Bagaimanapun katanya, di sebalik angka berkenaan, rakyat menentukan apa yang akan berlaku kepada Malaysia.

"Malaysia Baharu tidak akan berlaku jika tidak meninggalkan mentaliti lama yang melaksanakan amalan rasuah," ujar Perdana Menteri.