Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) akan menutup semua pejabat Tourism Malaysia seluruh negara berkuat-kuasa serta merta.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ini bertujuan bagi mengelakkan pertindihan tugas promosi pelancongan yang dilakukan setiap negeri dengan adanya exco pelancongan dan unit perancang ekonomi negeri (UPEN).

Beliau berkata, dengan adanya agensi promosi pelancongan di bawah kerajaan negeri yang berfungsi sama seperti pejabat Tourism MOTAC mampu menarik pelancong ke negeri masing-masing.

Jelasnya, inisiatif kementerian yang dibuat hasil penelitian di setiap sudut itu juga akan menjimatkan kos kerajaan sebanyak RM6 juta setahun dan wang terbabit boleh digunakan kerajaan untuk perbelanjaan lain.

"Setiap negeri mempunyai Exco Pelancongan dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) masing-masing, jadi kita tidak mahu tugas agensi itu dengan pihak berkuasa pelancongan negeri bertindih," kataya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Tahun Baharu Cina dan Ulang Tahun Pertama Freeport A'Famosa Outlet di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, langkah itu bagaimanapun tidak melibatkan pemberhentian kakitangan jabatan itu dimana kesemua mereka akan diserapkan ke ibu pejabat kementerian serta lima pusat informasi yang bakal dibuka di seluruh negara.

Katanya, meskipun pejabat Tourism Malaysia di 14 buah negeri ditutup, namun lima pusat informasi mengikut wilayah akan beroperasi.

Pejabat berkenaan akan disediakan di Pulau Pinang bagi kawasan utara, Terengganu bagi kawasan timur, Johor bagi kawasan selatan serta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu bagi Sabah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi Sarawak.

Pada 14 Jan lepas, kementerian mengumumkan bahawa lima pejabat Tourism Malaysia di luar negara iaitu New York dan Los Angeles di Amerika Syarikat, Perth di Australia, Stockholm di Sweden dan Johannesburg di Afrika Selatan ditutup serta merta tahun ini.

Ini berikutan pemberhentian perkhidmatan penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB) ke kawasan berkenaan.