Mana-mana pihak boleh mencadangkan sesiapa sahaja dalam Kabinet untuk meletak jawatan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun tegasnya, keputusan sama ada cadangan itu diterima atau sebaliknya merupakan isu yang berlainan.

"Mereka ada hak untuk mencadang, mereka boleh buat proposal, sama ada saya terima (atau tidak) itu hal lain," katanya kepada wartawan selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri, di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatannya terlebih dahulu untuk membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kepimpinan negara daripada Dr Mahathir.

Menurut Mohd Shaid, tindakan itu memudahkan proses peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Anwar dalam baki tempoh penyerahan jawatan yang dijanjikan.

Wan Azizah sebelum ini turut menolak cadangan yang mendesaknya supaya meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada suaminya.

Kata Wan Azizah, peralihan kuasa akan berlaku tetapi tidak memberi masa bila waktunya.

Wan Azizah juga mengulangi janji akan meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri sebaik suaminya menjadi Perdana Menteri.