Senarai barangan yang tertakluk kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan dikaji dan pindaan mengenainya akan dibuat pada hujung tahun ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata ketika ini senarai lengkap barangan yang dikenakan SST sudah dimuat naik di laman sesawang Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Bagaimanapun katanya senarai barangan itu akan diperbaiki dari semasa ke semasa berdasarkan maklum balas daripada semua pihak.

BACA: Tiada SST ke atas sate di kedai makan

BACA: Peniaga diminta serap SST pada harga yang dipamer

BACA: SST: KJ 'simpan' komen

Tambahnya, kerajaan amat prihatin dengan masalah rakyat dan pihaknya akan membuat pertimbangan sewajarnya mengenai senarai barangan tersebut.

Katanya, antara yang akan dikaji semula ialah mengenai senarai makanan laut seperti udang dan juga abalon yang disenaraikan di bawah SST.

"Semua senarai penuh telah dimuat naik tetapi tentu kena buat sedikit pindaan selepas dapat pandangan daripada orang ramai, dan mereka buat permintaan.

"Sebagai kerajaan prihatin dan mendengar pandangan rakyat, kita mesti ambil tindakan sewajarnya dan kita akan buat lagi pindaaan harap semua sabar, bila akan buat akhir tahun ini," katanya selepas majlis taklimat SST bersama Menteri Kewangan di sebuah hotel di Perai, hari ini.

Katanya, pelaksanaan cukai SST dilaksanakan bermula hari ini berikutan negara berdepan dengan defisit.


Justeru Guan Eng berharap orang ramai akan bersabar mengenai pelaksanaan cukai SST yang baru dilaksanakan bagi menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Setakat ini, sebanyak 5,443 barang dikecualikan SST, berbanding kira-kira 500 barang saja ketika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) manakala 5,612 dikenakan cukai jualan 10 peratus selain lebih 600 barangan bagi cukai jualan sebanyak lima peratus.

Katanya hampir 80,000 peniaga sudah mendaftarkan perniagaan mereka secara automatik daripada MyGST kepada MySST.